Aktiviti 1.8 – Sains Tingkatan 3 (KSSM) Bab 1

Aktiviti 1.8:
Mengkaji hubung kait antara deria rasa dengan deria bau

Bahan
Minuman kordial pelbagai perisa (perisa anggur, oren, mangga, strawberi) dan air suling

Radas
Sapu tangan (atau kain penutup mata) dan cawan

Arahan
1. Jalankan aktiviti ini secara berpasangan. Guru akan membekalkan setiap pasangan murid dengan kordial yang berlainan perisa, iaitu perisa anggur, oren, mangga dan strawberi di dalam cawan yang berbeza.

2. Tutup mata pasangan anda dengan sapu tangan dan minta dia memicit hidungnya seperti yang ditunjukkan dalam Gambar foto 1.11.



3. Berikan cawan yang berisi air suling kepada pasangan anda dan minta dia berkumur dengan air suling.

4. Berikan cawan yang berisi minuman kordial perisa anggur kepada pasangan anda dan minta dia mengenal pasti dan menyatakan perisa minuman kordial di dalam cawan yang diberi.

5. Tandakan ‘√’ jika pasangan anda dapat menjawab dengan betul dan ‘×’ jika ragu-ragu atau gagal menjawab dalam jadual seperti di bawah ini.

6. Ulang langkah 3 hingga 5 dengan minuman kordial berperisa lain.

7. Ulang langkah 2 hingga 6 dengan tanpa memicit hidung.



Soalan
1. Dalam keadaan yang manakah pasangan anda lebih mudah mengenal pasti perisa minuman kordial, dengan hidung dipicit atau tidak dipicit?

2. Nyatakan satu inferens berdasarkan jawapan anda.

3. Mengapakah mata pasangan anda perlu ditutup dalam aktiviti ini?

4. Mengapakah makanan yang panas lazimnya berasa lebih enak?


Jawapan:
1. Dengan hidung tanpa dipicit.

2. Perisa minuman kordial lebih mudah ditentukan dengan menggunakan kombinasi deria rasa dan deria bau.

3. Supaya pasangan tidak menggunakan deria penglihatan untuk menentukan perisa minuman kordial melalui warna perisa seperti warna ungu bagi perisa anggur, oren bagi perisa oren, kuning bagi perisa mangga dan merah bagi perisa strawberi.

4. Selain bahan kimia dalam makanan yang larut dalam air liur dan merangsang tunas rasa, bahan kimia dalam makanan yang panas juga tersejat dalam bentuk wap yang masuk ke dalam rongga hidung dan merangsang sel deria bau. Oleh itu, rangsangan kombinasi deria rasa dan deria bau ini menyebabkan makanan yang panas berasa lebih enak.

Leave a Comment