Aktiviti 5.6 – Sains Tingkatan 2 (KSSM) Bab 5


Aktiviti 5.6:
Tujuan: Membezakan antara larutan dan ampaian.

Bahan: Hablur kuprum(II) sulfat, air, kertas turas dan serbuk kapur

Radas: Bikar, spatula, kelalang kon, corong turas, silinder penyukat, rod kaca, lampu suluh dan skrin putih

Arahan
1. Sukat dan tuang 100 ml air ke dalam sebuah bikar dan tambahkan satu spatula hablur kuprum(II) sulfat.

2. Kacau campuran tersebut sehingga sekata dan perhatikan keadaan campuran yang terhasil.

3. Halakan lampu suluh ke arah bikar dan perhatikan kebolehan cahaya menembusi campuran tersebut seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.15(a).

4. Biarkan campuran tersebut selama 10 minit dan turaskan kandungannya seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.15(b).

5. Perhatikan jika ada sisa tertinggal pada kertas turas.

6. Ulang langkah 1 hingga 5 dengan menggantikan hablur kuprum(II) sulfat dengan serbuk kapur kemudian catatkan pemerhatian anda.


Soalan
1. Apakah keadaan campuran air dan serbuk kapur?

2. Apakah hubung kait antara zat terlarut di dalam campuran dengan kebolehan penembusan cahaya?

3. Berikan inferens anda bagi ujian penurasan yang dijalankan pada kedua-dua campuran.


Jawapan:
1. Campuran air dan serbuk kapur kelihatan keruh.

2. Apabila campuran zat terlarut dan pelarut menghasilkan larutan, zat terlarut melarut secara sekata dan menghasilkan larutan jernih. Hal ini membolehkan cahaya menembusi larutan. Maka suatu tompok cahaya yang terang akan diperhatikan pada skrin putih. Zat terlarut yang tidak melarut di dalam air membentuk ampaian. Cahaya sukar menembusi ampaian. Tompok cahaya malap terbentuk pada skrin putih.

3. Larutan kuprum(II) sulfat yang dituras tidak meninggalkan sebarang sisa kerana zarah-zarah hablur kuprum(II) sulfat (zat terlarut) terlarut secara sekata di dalam air (pelarut). Campuran air dan serbuk kapur yang dituras meninggalkan sisa pada kertas turas kerana campuran serbuk kapur dan air menghasilkan ampaian yang mengandungi zarah-zarah serbuk kapur yang tak terlarut.

Leave a Comment