Aktiviti 1.1 – Sains Tingkatan 3 (KSSM) Bab 1


Aktiviti 1.1:
Mengukur kepantasan masa gerak balas murid menangkap pembaris yang jatuh bebas (tindakan terkawal)

Tujuan: Mengukur kepantasan masa gerak balas murid

Radas
Pembaris setengah meter

Arahan
1. Lakukan aktiviti ini secara berpasangan.

2. Minta pasangan anda memegang hujung pembaris setengah meter seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.4.


3. Letakkan tangan anda di hujung pembaris pada tanda sifar tetapi tidak menyentuhnya seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.4.

4. Pasangan anda akan melepaskan pembaris itu secara tiba-tiba dan anda cuba menangkap pembaris tersebut secepat yang mungkin.

5. Rekodkan jarak, x, yang dilalui oleh pembaris, iaitu skala pada pembaris semasa anda menangkap pembaris tersebut. Jarak, x, itu merupakan ukuran masa tindak balas anda.

6. Ulang aktiviti ini sebanyak empat kali. Kemudian, hitung purata jarak, xpurata.


Soalan
1. Dalam aktiviti ini, nyatakan rangsangan dan gerak balasnya. Adakah gerak balas ini merupakan tindakan terkawal atau luar kawal? Terangkan.

2. Mengapakah jarak yang dilalui oleh pembaris tersebut boleh dianggap sebagai masa tindak balas?

3. Terangkan perbezaan masa tindak balas antara murid di dalam kelas.

4. Apakah kepentingan masa tindak balas dalam kehidupan harian?

Kesimpulan
Buat kesimpulan yang sesuai tentang masa tindak balas murid di dalam kelas.


Jawapan:
1.
Rangsangan:
Melihat pasangan anda melepaskan pembaris.

Gerak balas:
Menangkap pembaris dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Gerak balas ini adalah tindakan terkawal kerana tindakan ini disedari dan dilakukan mengikut kehendak seseorang dengan rangsangan dan dikawal oleh otak.

2. Jarak yang dilalui oleh pembaris menunjukkan masa yang diambil oleh murid untuk menangkap pembaris tersebut. Semakin pendek jarak yang dilalui oleh pembaris, semakin cepat masa tindak balas.

3. Murid yang berlainan lazimnya mempunyai masa tindak balas yang berlainan. Di samping itu, masa tindak balas seseorang juga tidak tetap dan berubah-ubah.

4. Dalam kehidupan harian manusia, masa tindak balas memainkan peranan yang penting untuk mengkoordinasikan dan mengawal organ dan bahagian badan supaya berfungsi secara harmoni dan cekap.

Leave a Comment