Eksperimen 1.1 – Sains Tingkatan 3 (KSSM) Bab 1


(A) Gerak balas tumbuhan terhadap cahaya atau fototropisme:
Tujuan: Mengkaji gerak balas tumbuhan terhadap cahaya

Pernyataan masalah: Bahagian tumbuhan yang manakah bergerak balas terhadap cahaya?

Hipotesis: Pucuk tumbuhan tumbuh ke arah cahaya.

Pemboleh ubah
(a) dimanipulasikan : Arah cahaya terhadap pucuk anak benih
(b) bergerak balas : Arah pertumbuhan pucuk anak benih
(c) dimalarkan : Anak benih yang sama jenis dengan ketinggian yang sama

Bahan
Anak benih kacang hijau, tanah dan tiga buah kotak (sebuah kotak dengan bukaan di atas dan dua buah lagi dengan bukaan di tepi)

Radas
Tiga bikar


Prosedur

1. Sediakan susunan radas seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.25.

2. Perhati dan lakarkan kedudukan pucuk anak benih di dalam kotak A, B dan C.

3. Simpan ketiga-tiga kotak di dalam makmal selama lima hari. Tanah dibiarkan lembap dengan menyiram kuantiti air yang sama setiap hari.

4. Selepas lima hari, perhati dan lakarkan kedudukan pucuk anak benih di dalam kotak A, B dan C.

Kesimpulan
Adakah hipotesis diterima? Apakah kesimpulan eksperimen ini?


Soalan
1. Apakah rangsangan yang digunakan dalam eksperimen ini?

2. Nyatakan bahagian tumbuhan yang bergerak balas terhadap rangsangan.

3. Adakah bahagian tumbuhan di soalan 2 menunjukkan fototropisme positif atau negatif? Jelaskan jawapan anda.

Jawapan:
1. Cahaya

2. Pucuk tumbuhan

3. Bahagian tumbuhan yang dinyatakan di soalan 2 atau pucuk tumbuhan menunjukkan fototropisme positif kerana pucuk tumbuhan tumbuh menuju ke arah rangsangan, iaitu cahaya.


(B) Gerak balas tumbuhan terhadap graviti atau geotropisme:
Tujuan: Mengkaji gerak balas tumbuhan terhadap graviti

Pernyataan masalah: Bahagian tumbuhan yang manakah bergerak balas terhadap graviti?

Hipotesis: Akar tumbuhan tumbuh ke arah graviti manakala pucuk tumbuhan tumbuh ke arah yang bertentangan dengan graviti.

Pemboleh ubah
(a) dimanipulasikan : Kedudukan anak benih relatif kepada arah graviti
(b) bergerak balas : Arah pertumbuhan akar dan pucuk anak benih
(c) dimalarkan : Kehadiran air, ketidakhadiran cahaya, anak benih dengan akar dan pucuk yang lurus

Bahan
Anak benih kacang hijau dengan akar dan pucuk yang lurus, kapas lembap dan plastisin

Radas
Piring Petri


Prosedur
1. Sediakan susunan radas seperti dalam Rajah 1.26. Pastikan anak benih diaturkan pada kedudukan yang berbeza di dalam piring Petri seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.26.

2. Perhati dan lakarkan keadaan pucuk dan akar anak benih di dalam piring Petri.

3. Simpan susunan radas di dalam almari gelap selama dua hari.

4. Selepas dua hari, perhati dan lakarkan kedudukan pucuk dan akar anak benih di dalam piring Petri.



Kesimpulan
Adakah hipotesis diterima? Apakah kesimpulan eksperimen ini?

Soalan
1. Mengapakah susunan radas disimpan di dalam almari gelap?

2. Berdasarkan pemerhatian anda, nyatakan arah pertumbuhan:
(a) pucuk anak benih
(b) akar anak benih

3. Adakah tumbuhan menunjukkan geotropisme positif atau negatif?
Jelaskan jawapan anda.


Jawapan:
1. Supaya rangsangan cahaya tidak mempengaruhi pertumbuhan anak benih kacang

2. (a) Tumbuh ke atas dan menentang arah graviti.

(b) Tumbuh ke bawah mengikut arah graviti.

3. Akar tumbuhan menunjukkan geotropisme positif kerana akar tumbuhan tumbuh menuju ke arah graviti manakala pucuk tumbuhan menunjukkan geotropisme negatif kerana pucuk tumbuhan tumbuh ke arah bertentangan graviti.


(C) Gerak balas tumbuhan terhadap air atau hidrotropisme:
Tujuan: Mengkaji gerak balas tumbuhan terhadap air

Pernyataan masalah: Bahagian tumbuhan yang manakah bergerak balas terhadap air?

Hipotesis: Akar tumbuhan tumbuh ke arah air.

Pemboleh ubah
(a) dimanipulasikan : Kehadiran sumber air
(b) bergerak balas : Arah pertumbuhan akar anak benih
(c) dimalarkan : Graviti, ketidakhadiran cahaya dan anak benih dengan akar dan pucuk yang lurus

Bahan
Anak benih kacang hijau yang mempunyai akar dan pucuk yang lurus, kapas lembap dan kalsium klorida kontang

Radas
Kasa dawai yang kasar dan dua bikar


Prosedur
1. Sediakan susunan radas seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.27.

2. Perhati dan lakarkan keadaan akar anak benih di dalam bikar X dan Y.

3. Simpan kedua-dua bikar X dan Y di dalam almari yang gelap.

4. Selepas dua hari, perhati dan lakarkan keadaan akar anak benih di dalam bikar X dan Y.


Kesimpulan
Adakah hipotesis diterima? Apakah kesimpulan eksperimen ini?


Soalan
1. Apakah rangsangan yang digunakan dalam eksperimen ini?

2. Nyatakan bahagian tumbuhan yang bergerak balas terhadap rangsangan.

3. Apakah fungsi kalsium klorida kontang di dalam bikar Y?

4. Adakah bahagian tumbuhan di soalan 2 menunjukkan hidrotropisme positif atau negatif? Jelaskan jawapan anda.


Jawapan:
1. Air

2. Akar tumbuhan

3. Menyerap air dan kelembapan udara di dalam bikar Y

4. Bahagian tumbuhan yang dinyatakan di soalan 2 atau akar tumbuhan menunjukkan hidrotropisme positif kerana akar tumbuhan tumbuh menuju ke arah rangsangan, iaitu air.

Leave a Comment