Aktiviti 3.1 – Sains Tingkatan 3 (KSSM) Bab 3


Aktiviti 3.1:
Membanding dan membezakan sistem peredaran darah bagi haiwan vertebrata

Arahan
1. Buat pembacaan aktif untuk membanding dan membezakan sistem peredaran darah bagi haiwan vertebrata seperti mamalia, reptilia, amfibia, burung dan ikan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.3 dan 3.4.





2. Lengkapkan carta yang menunjukkan perbandingan sistem peredaran darah bagi haiwan vertebrata seperti mamalia, reptilia, amfibia, burung dan ikan.



Jawapan:
Ikan
– Ikan mempunyai sistem peredaran darah tunggal (single circulatory system) di mana darah mengalir melalui jantung hanya sekali dalam satu kitaran lengkap ke seluruh bahagian badan.

– Jantung ikan mempunyai satu atrium dan satu ventrikel.

– Darah terdeoksigen mengalir keluar dari jantung ikan ke insang di mana pertukaran gas yang berlaku pada kapilari insang menukarkan darah terdeoksigen kepada darah beroksigen.

– Darah beroksigen mengalir dari jantung ke seluruh badan, bertukar menjadi darah terdeoksigen dan mengalir balik ke dalam jantung.


Amfibia
– Amfibia mempunyai sistem peredaran darah ‘ganda dua’ yang tidak lengkap (incomplete double circulatory system) di mana darah mengalir melalui jantung dua kali dalam satu kitaran lengkap ke seluruh badan.

– Jantung amfibia mempunyai dua atrium dan satu ventrikel.

– Darah terdeoksigen mengalir keluar dari jantung amfibia ke peparu dan kulit di mana pertukaran gas yang berlaku pada dinding kapilari darah di dalam peparu atau di bawah kulit menukarkan darah terdeoksigen kepada darah beroksigen.

– Darah beroksigen mengalir dari jantung ke otak dan campuran darah beroksigen dan terdeoksigen mengalir ke seluruh bahagian badan yang lain kecuali peparu. Darah beroksigen ini bertukar menjadi darah terdeoksigen dan mengalir balik ke dalam jantung.


Reptilia
– Reptilia mempunyai sistem peredaran darah ‘ganda dua’ yang tidak lengkap (incomplete double circulatory system) di mana darah mengalir melalui jantung dua kali dalam satu kitaran lengkap ke seluruh badan.

– Jantung reptilia mempunyai dua atrium dan satu ventrikel dengan struktur yang membahagi ruang dalam ventrikel kepada dua bahagian yang berasingan.

– Darah terdeoksigen mengalir keluar dari jantung ke peparu di mana pertukaran gas berlaku pada dinding kapilari darah di dalam peparu menukarkan darah terdeoksigen kepada darah beroksigen.

– Darah beroksigen mengalir dari jantung ke seluruh badan kecuali peparu, bertukar menjadi darah terdeoksigen dan mengalir balik ke dalam jantung.


Mamalia dan burung
– Mamalia dan burung mempunyai sistem peredaran darah ‘ganda dua’ (double circulatory system) di mana darah mengalir melalui jantung dua kali dalam satu kitaran lengkap ke seluruh badan.

– Jantung mamalia dan burung mempunyai dua atrium dan dua ventrikel.

– Darah terdeoksigen mengalir keluar dari jantung ke peparu di mana pertukaran gas berlaku pada dinding kapilari darah di dalam peparu menukarkan darah terdeoksigen kepada darah beroksigen.

– Darah beroksigen mengalir dari jantung ke seluruh badan kecuali peparu, bertukar menjadi darah terdeoksigen dan mengalir balik ke dalam jantung.

Leave a Comment